fbpx
Naran ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Keluarga Syamsul Haris mahu laporan bedah siasat, keterangan diserahkan hospital sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Peguam keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin memohon Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan supaya Pengarah Hospital Kota Tinggi menyerahkan laporan bedah siasat pertama dan nota keterangan bilik kecemasan hospital itu.

Menurut Peguam Datuk Naran Singh, permohonan dibuat kepada Mahkamah Tinggi di sini supaya penyerahan dokumen itu dilakukan oleh pihak hospital sendiri, bukannya melalui pihak ketiga.

Beliau bagaimanapun mengakui menerima satu salinan laporan bedah siasat pada pukul 10.40 malam tadi daripada pegawai penyiasat polis.

“Ya, dokumen yang saya terima itu salinan diakui sah, tetapi ia datang daripada polis. Permohonan saya di mahkamah untuk mengarahkan Pengarah Hospital memberikan sendiri laporan berkenaan. Kenapa hospital tidak mahu beri? Apa kepentingannya?,” katanya ketika ditemui selepas prosiding hari ini.

Naran berkata, pihaknya sudah menghantar sekurang-kurangnya empat surat kepada Hospital Kota Tinggi, namun tidak pernah menerima sebarang maklum balas menyebabkan perkara itu dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Beliau menegaskan laporan itu penting bagi meneliti kemungkinan wujud percanggahan bedah siasat pertama dan kedua, termasuk dapatan mengenai kecederaan di leher yang tersenarai dalam laporan kedua.

“Semalam saya terima laporan menyatakan arwah meninggal dunia akibat pneumonia. Itu bercanggah dengan laporan kedua sebelum ini. Bagi saya, apabila dibawa ke bilik kecemasan adalah penting. Adalah sesuatu yang saya hendak lihat” katanya.

Naran menambah, permohonan itu penting bagi memudahkan orang lain membuat permohonan sekiranya mendapat bantahan pada masa depan. Ditanya mengenai alasan pihak hospital, beliau berkata ia tidak pernah dibalas oleh pihak berkenaan.

Beliau berharap individu yang terlibat harus didakwa dengan segera selepas laporan bedah siasat kedua mengklasifikan kematian pegawai kadet Palapes pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia itu sebagai kes bunuh.

“Harapan saya dan ibu arwah cuma satu iaitu siapa bunuh? Itu jawapan yang kami hendak (tahu) secepat mungkin. Orang yang terlibat perlu diheret ke muka pengadilan,” ujarnya.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula bagi pengurusan permohonan tersebut.

Ini selepas pihak pendakwaan sealku responden yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon tempoh seminggu bagi mendapatkan arahan Peguam Negara sama ada dokumen yang dimohon boleh dibekalkan oleh pihak hospital. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI