CAMERON HIGHLANDS – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membongkar kegiatan pengangkutan haram melibatkan bas sekolah yang digunakan untuk membawa pelancong warga asing dalam operasi bersepadu di sini, hari ini.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, bas yang dipandu lelaki warga tempatan itu dikesan beroperasi secara haram sejak tiga tahun lalu.
Katanya, tindakan sitaan terhadap kenderaan itu diambil kerana beroperasi tanpa lesen pengendali dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Seksyen 222 dan Seksyen 224 akta sama.
“Dalam operasi ini, kita mengesan sebuah bas sekolah yang dijadikan bas pelancong bagi membawa pelancong luar negara, termasuk dari China dan Singapura.
“Bayangkan, kita baru sahaja berdepan satu insiden di Genting Highlands melibatkan bas persiaran yang membawa pelancong dari China terbalik, sehingga meragut nyawa.
“Jika perkara seperti ini berulang, apakah kesannya kepada industri pelancongan negara? JPJ amat mengambil berat isu ini dan tindakan tegas diambil bagi memastikan semua kenderaan, sama ada persendirian, perdagangan atau perkhidmatan awam mematuhi sepenuhnya peraturan serta undang-undang jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, selain bas sekolah, pihaknya turut menyita dua kenderaan pacuan empat roda yang masih berdaftar atas nama agensi kerajaan tetapi digunakan untuk membawa pelancong.
Katanya, hasil semakan mendapati salah sebuah kenderaan berkenaan tidak memperbaharui cukai jalan sejak 1999.
“Siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti sama ada kenderaan ini telah dilelong tetapi pembida yang berjaya tidak menukar nama pemilikan. Kami akan melakukan siasatan lanjut bagi mengetahui bagaimana perkara ini boleh berlaku.
“Namun, sekiranya kenderaan milik agensi kerajaan digunakan untuk tujuan sedemikian, ia merupakan satu kesalahan serius yang jelas melanggar peraturan dan undang-undang,” katanya.
Mengulas mengenai operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di beberapa lokasi di sini, beliau berkata, sebanyak 48 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 16 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan.
Katanya, sebanyak 51 notis dikeluarkan melibatkan kesalahan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM), tidak mempunyai LKM dan perlindungan insurans serta tidak memiliki lesen memandu yang sah. – KOSMO! ONLINE














