MELAKA – Melaka terus menegaskan komitmen terhadap pembangunan syiar Islam apabila Bajet Negeri 2026 memperuntukkan lebih RM92 juta kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), antara peruntukan terbesar bagi jabatan di negeri ini.
Peruntukan itu merangkumi RM79.98 juta bagi pengurusan dan RM12.35 juta untuk pembangunan, termasuk projek pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA), Tadika JAIM serta penyelenggaraan institusi agama seperti masjid dan surau di seluruh negeri.
Dalam Bajet 2026, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada sektor kesihatan dengan peruntukan besar RM966 juta untuk projek baharu dan sambungan, serta RM49.4 juta peruntukan siling, diikuti pendidikan sebanyak RM225 juta.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri beriltizam memartabatkan syiar Islam sejajar dengan kata-kata Imam Al-Ghazali bahawa “Ilmu tanpa amal bagaikan pohon tanpa buah”.
“Peruntukan besar JAIM bukan sahaja memastikan pembangunan fizikal institusi agama tetapi juga membina modal insan berteraskan pendidikan Islam sejak peringkat awal.
“Antara projek utama ialah pembinaan SRA dan Tadika JAIM Pasir Putih, Bachang serta SRA Sungai Udang, selain penyelenggaraan dan pembaikan kecil SRA, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), tadika, masjid dan surau di seluruh negeri,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri juga akan meneruskan Program Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pendidikan Tadika JAIM, dengan memberi insentif RM100 kepada 3,600 pelajar sebagai sebahagian yuran pendaftaran, dengan peruntukan keseluruhan RM360,000.
Dalam pada itu Ab.Rauf turut berkongsi perancangan kerajaan negeri menyediakan satu jengkaut di setiap DUN bagi membolehkan liang kubur digali lebih awal, sekali gus memudahkan proses pengebumian bagi keluarga yang berduka.
“Setiap DUN dicadangkan dilengkapi jengkaut untuk menggali 10 liang kubur lebih awal, supaya apabila berlaku kematian, liang kubur sudah siap dan penggali hanya perlu menyempurnakan proses pengebumian.
“Elaun sebanyak RM576,000 diperuntukkan kepada penggali kubur masjid kariah negeri bagi memastikan proses pengebumian dijalankan dengan lebih teratur dan penghormatan terhadap orang yang meninggal dunia dapat ditunaikan dengan baik,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE














