fbpx
Tangkap layar insiden kekecohan dan pergaduhan di hadapan sebuah pasar raya di Pekan Sungai Besar.

Isu pemilikan, hutang punca gaduh di parkir pasar raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SABAK BERNAM – Isu pemilikan dan hutang yang belum selesai dipercayai mencetuskan pergaduhan membabitkan empat lelaki termasuk seorang pemandu kereta di kawasan parkir sebuah pasar raya di Pekan Sungai Besar, di sini kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu menyebabkan pemandu terbabit cedera di lengan, badan dan kepala sehingga memerlukan enam jahitan selepas diserang tiga suspek lain.

Menurut sumber, insiden bermula apabila isteri kepada salah seorang suspek yang melalui kawasan tersebut telah terlibat kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan Murano milik arwah ayahnya sedang diparkir hadapan pasar raya tersebut.

Katanya, kenderaan itu memang dicari pihak keluarga susulan terdapat isu pemilikan dan hutang yang masih belum selesai.

“Tiga suspek kemudian datang menaiki Nissan Grand Livina dan menghalang kereta mangsa di parkir.

“Mereka mengepung kenderaan itu serta mengetuk cermin hadapan bagi memaksa mangsa keluar, namun mangsa enggan dan memaki hamun mereka,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Sumber berkata, seorang suspek mengambil tukul dari dalam kereta sebelum mengetuk cermin hadapan dan memecahkan cermin pintu pemandu dengan siku berulang kali.

“Seorang lagi suspek memanjat sebuah Honda WR-V yang diparkir bersebelahan, manakala seorang lagi mengetuk cermin hadapan SUV berkenaan berkali-kali menggunakan mop kayu sehingga berjaya menembusinya,” katanya.

Kereta WRV yang dipanjat suspek itu dipercayai milik seorang pensyarah sebuah politeknik.

Mangsa yang ketakutan kemudian cuba melarikan diri sehingga melanggar dua kereta lain yang diparkir, sebelum terbabas ke kaki lima pasar raya dan hampir melanggar seorang pekerja lelaki.

“Tiga suspek terus menyerang menggunakan mop kayu serta dua batang besi. Mangsa menerima enam jahitan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah.

“Kejadian ini tiada kaitan langsung dengan dakwaan curi kereta seperti ditularkan,” jelas sumber,” jelas sumber.

Semakan lanjut mendapati pemandu itu dan tiga suspek bersaudara berkenaan mempunyai antara dua hingga tujuh rekod lampau. Selain itu, dua suspek didapati positif methamphetamine. Kesemua mereka berusia 31 hingga 53 tahun.

Kosmo! semalam melaporkan tular satu video memaparkan insiden pergaduhan membabitkan tiga lelaki dengan seorang pemandu kereta di kawasan parkir sebuah pasar raya di Pekan Sungai Besar.

Sementara itu, Ketua Polis Sabak Bernam. Superintendan Md. Yusof Ahmad dipetik berkata, empat lelaki telah ditangkap bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148/279 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN