KUANTAN – Semua penjawat awam kerajaan negeri ini akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak dua bulan gaji menerusi pembentangan Belanjawan Pahang 2026 hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika mengumumkan berita gembira itu berkata, ia melibatkan peruntukan berjumlah RM48 juta yang akan diberikan sebanyak dua kali tahun hadapan.
Selain itu, katanya, seramai 18,743 kakitangan awam Persekutuan berpendapatan bawah RM3,000 turut menerima pemberian insentif khas Pahang 1st sebanyak RM200 dengan peruntukan berjumlah RM3.75 juta.
“Segala kejayaan negeri hari ini tidak akan tercapai tanpa peranan penting penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran.
“Komitmen dan kesetiaan mereka adalah nadi yang menggerakkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Menurut Wan Rosdy, pemberian itu adalah sebagai penghargaan di atas segala pengorbanan, kesetiaan, keikhlasan serta khidmat bakti semua penjawat awam sepanjang tahun.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar penjawat awam kekal menjadi benteng pelindung yang mempertahankan kerajaan negeri apabila wujud suara-suara yang cuba memesongkan fakta, mengeruhkan persepsi dan menggugat keyakinan rakyat terhadap usaha yang telah dilaksanakan selama ini.- KOSMO! ONLINE














