PETALING JAYA – Seorang wanita berang apabila jirannya seolah-olah memandang ringan kejadian anaknya memecahkan cermin rumahnya semasa bermain bola, malah menolak tuntutan ganti rugi yang dibuat.
Katanya, ibu kepada kanak-kanak tersebut turut menganggap kejadian itu sebagai perkara biasa.
“Saya nak cakap, tadi anak akak ada main bola depan rumah, lepas itu terkena cermin rumah saya sampai pecah. Kalau boleh saya nak minta ganti rugi,” mesej wanita itu kepada ibu kanak-kanak tersebut.
“Alah kau ni cermin je pun tak akan tu pun nak kena ganti, bukannya mahal pun. Biasalah budak kuat main tak akan dengan budak pun kau nk minta ganti,” balas ibu tersebut.
Kemudian, wanita itu cuba memahami situasi sekiranya si ibu tidak mampu membayar ganti rugi dan memaklumkan dia memaafkan kanak-kanak tersebut.
“Tak apalah kak kalau akak tak mampu tak apa, saya maafkan je,” katanya.
Bagaimanapun, jiranya dilihat tidak berpuas hati dan cuba memanjangkan perkara itu termasuklah menyentuh isu peribadi wanita terbabit.
“Eh hang ingat aku miskin ka tak mampu bayar. Memang la aku mampu, tpi masalahnya sekarang ini anak aku tu budak lagi biar ja la…macam la kau tu tak pernah buat salah.
“Kau tu klau tak tau soal anak kau diam je. Oh patutlah dah setahun kau kahwin kau masih tak dapat anak, rupanya kau tak tahu soal budak,” perli jirannya.
Wanita itu menambah, dia kecewa dengan sikap berlagak jirannya selain memaklumkan bahawa kejadian tersebut bukan pertama kali dilakukan oleh anak jirannya.
“Saya dari hari tu lagi sabar dengan akak, dari hari tu lagi anak akak buat masalah, hari tu dia baling pasir dekat dalam rumah saya dan main badminton sampai kena cermin kereta saya sampai pecah sikit, yang tu saya sabar lagi tau sebab saya tak nak gaduh.
“Setiap kali saya cakap dengan akak anak akak buat masalah, mesti akak cakap anak akak tu budak lagi, eh akak anak akak tu umur dah 11 tahun tau kak dia dah boleh fikir dah bukannya umur dia lima tahun tak boleh fikir,” tegasnya.
Sementara itu, tangkap layar perbualan WhatsApp antara kedua-duanya tular di media sosial dan menjadi perbincangan dalam kalangan netizen.
“Tak perlu mesej-meseh lagi. Pergi rumah dia pecahkan balik cermin rumah dia tabur je garam, pasir semua,” cadang Felicia Leez.
“Nak tengok perangai anak, macam itulah mak bapanya,” kata Cik Mala.
“Kak, marilah pinjam anak saya kasi pecah segala cermin dekat rumah dia tu pula. Bukan apa, budak kan… tak akan dia nak minta budak ganti rugi pula,” seloroh Katy Fernandez. – KOSMO! ONLINE














