PETALING JAYA – Sebak dapat menggenggam barang idaman, penyanyi dan pelakon Bella Astillah menitiskan air mata sebaik mikrofon yang diingini menjadi miliknya.
Momen tersebut dikongsikan pembantu peribadinya, Niel Rafeq yang mendedahkan majikannya itu sudah lama memasang impian untuk memiliki mikrofon sendiri selepas pernah meminjam peralatan itu daripada seorang rakan ketika bertanding dalam program Famili Duo.
“Lama sangat dia menantikan saat ini, di mana dia ada mic (mikrofon) sendiri. Sampai satu tahap dulu dia pinjam daripada seorang rakan artis masa bertanding di Famili Duo.
“Dia cakap nak berlatih menyanyi banyak-banyak supaya boleh dapat mikrofon sendiri suatu hari nanti.
“Alhamdulillah, saya bangga dengan awak Bella. Ini hadiah untuk dirinya sendiri,” tulis Niel dalam Insta Story yang kemudian diulang siar Bella di laman sosialnya.
Menerusi video pendek tersebut pemilik nama lengkap Dayang Nabellah Awang Astillah, 31, itu memegang mikrofon terbabit sambil menahan sebak.
Daripada komen, ada netizen menganggarkan peralatan berkenaan boleh mencecah harga sehingga RM30,000.
“Mahal awak, sekitar RM30,000 dan ke atas, bergantung pada kualiti,” tulis seorang netizen di hantaran yang diulang siar pengguna lain. – KOSMO! ONLINE














