MANILA – Jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz-Naranjo tekad untuk mempamerkan aksi terbaik menjelang temasya Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Thailand bermula 9 hingga 20 Disember ini.
Atlet berusia 34 tahun itu yang kembali menyertai Sukan SEA buat kali pertama sejak edisi Hanoi 2021 di Vietnam menggalas misi untuk memburu pingat emas ketiganya pada temasya dwitahunan tersebut.
Diaz-Naranjo yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 berkata, dia sentiasa memberikan segala-galanya setiap kali turun beraksi sama ada pada kejohanan besar ataupun kecil.
Turun sebagai prospek pingat emas buat Filipina, dia berharap dapat memberikan kegembiraan buat rakyat negaranya dengan membutirkan pingat emas di Bangkok nanti.
“Dalam setiap kejohanan ataupun temasya saya sertai, sasaran saya hanya satu, iaitu untuk mempamerkan aksi terbaik buat negara. Kali ini juga tiada bezanya dengan semua kejohanan lain pernah saya sertai.
“Bagaimanapun, ini bukanlah tanggungjawab saya seorang kerana atlet-atlet lain juga pastinya mahu menyumbangkan pingat buat negara. Kami akan berikan segala-galanya untuk Filipina,” katanya.
Selain Diaz-Naranjo, antara sandaran pingat emas yang lain adalah pemenang pingat perak dan gansa Olimpik Tokyo 2020, Kayla Sanchez (renang) serta juara bertahan angkat berat yang juga pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia, Elreen Ann Ando. – AGENSI














