PUTRAJAYA- Biarpun baru sembilan hari berpantang anak sulung, seorang ibu muda tetapgagahkan diri hadir pada majlis konvokesyennya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), semalam.
Lebih menyedihkan, Siti Nor Alia Kartika Mohamed Shaihan, 24, terpaksa meraikan detik gembira tanpa anak tersayang kerana bayinya itu kini di rawat di Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU), Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Katanya, dia dan suami, Mohammad Firdaus Mohd. Israj, 25, sepatutnya meraikan detik manis itu bersama anak mereka, Mohammad Hud Ayden tetapi impian tidak kesampaian disebabkan keadaan anak mereka yang masih lemah.
“Ketika lahir, bacaan jantung anak kami lemah dan terpaksa menerima rawatan antibiotik selama 10 hari selepas dilahirkan pada 25 November lalu.
“Alhamdulillah, keadaan Muhammad Hud kini stabil dan semua keputusan pemeriksaan menunjukkan tiada perkara yang membimbangkan. Insya-Allah bayi kami akan dibenarkan pulang esok,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Ketangkasan Pertahanan, dia sepatutnya dibenarkan pulang ke rumah selepas bersalin minggu lalu, namun memilih untuk menemani anaknya di hospital.
Siti Nor Alia Kartika berkata, selepas tamat sesi konvokesyen pagi semalam, dia dan suami terus bergegas ke hospital bagi mengabadikan kenangan bersama anaknya.
Menurutnya, dia pernah merancang membawa bayinya itu bersama pada hari konvokesyen semalam namun, hasrat itu tidak kesampaian.
“Saya juga berharap dapat bersalin lebih awal supaya dapat meraikan hari tersebut bersama bayi saya, namun tidak kesampaian kerana
dia perlu menghabiskan rawatan antibiotik.
“Bagaimanapun, kesedihan saya sedikit terubat apabila ibu dan ayah serta ahli keluarga dari Kelantan hadir meraikan hari konvokesyen saya semalam,” katanya.
Katanya, dia tidak berhasrat menangguhkan majlis konvokesyen itu kerana tidak mahu melepaskan peluang meraikan detik gembira bersama rakan-rakan.
“Semua rakan tahu saya mengandung, jadi tak peliklah. Jadi, saya tak terfikir untuk tangguh konvo sebab memang nak bergraduasi bersama dengan kawan-kawan sepengajian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














