MARANG – Perbuatan 44 lelaki termasuk dua etnik Rohingya dan 19 remaja bawah umur merempit dan membuat bising sehingga menggangu ketenteraman awam membawa padah apabila mereka diberkas polis dalam serbuan di Kampung Gong Kekabu, Bukit Payung di sini hari ini.
Serbuan pada pukul 12.30 tengah malam berkenaan melibatkan 24 pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Marang.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, serbuan itu dilakukan berikutan rungutan penduduk setempat tentang kelakuan kumpulan mat rempit berkenaan yang gemar berkumpul dan membuat bising terutama pada waktu malam dan awal pagi.
Beliau berkata, operasi menyasarkan lokasi perkumpulam mat rempit terbabit iaitu Jalan Kampung Gong Kekabu – Taman Safiah Murni berhampiran Kampung Gong Kekabu.
“Serbuan berjaya menahan 44 individu terdiri 19 remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun.
“Selain itu, 25 lelaki dewasa termasuk dua warga asing etnik Rohingya berumur antara 18 dan 41 tahun turut diberkas dalam operasi sama,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Sofian berkata, operasi sama turut menyita 38 motosikal milik suspek mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian motosikal suspek dikesan mengubahsuai ekzos kepada paip yang dipercayai punca bunyi bising rungutan penduduk setempat.
“Sebanyak 152 notis saman trafik atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan. Kesemua suspek telah di bawa ke Balai Polis Bukit Payung di sini untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














