BANGKOK – Thailand merampas aset lebih AS$300 juta (RM1.2 bilion) yang dikaitkan dengan rangkaian pusat penipuan (scam) bernilai berbilion-bilion dolar di Asia Tenggara, kata Perdana Menteri Anutin Charnvirakul semalam.
Pengumuman dibuat selepas pihak berkuasa Asia, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menyasarkan syarikat Kemboja, Prince Holding Group (Prince) dan rangkaian perniagaan globalnya dengan merampas serta membekukan aset bernilai berbilion-bilion dolar.
Pada Oktober lepas, pihak berkuasa AS mendakwa pengasas Prince Holding yang dilahirkan di China, Chen Zhi. Washington menuduhnya mengetuai kem buruh paksa di Kemboja, di mana pekerja-pekerja diperdagangkan dan dipaksa melakukan penipuan dalam talian.
Anutin berkata, polis menahan beberapa suspek dan merampas aset bernilai lebih AS$300 juta. Antara yang ditangkap ialah Chen, seorang senator Kemboja dan dua warganegara Thailand.
“Semua yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan,” kata Anutin.
Menurut Pejabat Pencegahan Pengubahan Wang Haram Thailand, pihaknya merampas 100 barang milik Chen bernilai AS$11.7 juta (RM48 juta) termasuk tanah, wang tunai, barangan mewah dan barang kemas.
Pihak berkuasa juga merampas aset bernilai hampir AS$15 juta (RM62 juta) daripada senator Kok An iaitu ahli perniagaan dan sekutu bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen.
Kira-kira AS$290 juta (RM1.2 bilion) aset pula dirampas daripada dua warga Thailand yang disyaki mempunyai kaitan dengan operasi penipuan.
Operasi penipuan siber berkembang pesat di seluruh Asia Tenggara, lazimnya beroperasi dari blok pejabat atau gudang sederhana di mana penipu menyasarkan pengguna internet di seluruh dunia. – AFP














