KUALA LUMPUR – “Terima kasih TPM (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) selamatkan keadaan.”
Demikian ucapan Ahli Pembangkang termasuk Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) kepada Ahmad Zahid di bangunan Parlimen hari ini.
Ia selepas usul menggantung Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan ditangguhkan.
Satu rakaman video Shahidan bersalaman dengan Presiden UMNO itu sambil menyatakan ucapan terima kasih turut di muat naik di laman media sosial.
Terdahulu, sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila usul untuk menggantung Takiyuddin dibawa oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Usul menggantung Takiyuddin selama enam bulan susulan dakwaannya bahawa latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) disamakan dengan peristiwa Memali.
Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) namun memohon usul penggantungannya selama enam bulan dipinda dengan merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Beliau berkata, pihaknya menuntut satu prosiding yang adil dan diberikan hak bersuara untuk mempertahankan diri terhadap dakwaan yang dibuat sebelum ini.
“Kalau sekiranya menteri boleh meminda usul ini dan merujuk saya kepada jawatankuasa. Saya masih lagi seorang ketua whip dan saya akan arahkan rakan untuk terima jadi tidak perlu buat (undi) belah bahagi,” katanya.
Shamsul Anuar Nasarah kemudian memaklumkan usul untuk menggantung Takiyuddin daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan ditangguhkan sehingga sesi Dewan Rakyat akan datang.
“Selepas kita dengar hujah daripada semua dan menimbang hujah-hujah diberikan, maka kita bagi pihak kerajaan mohon usul ini ditangguhkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














