KUALA LUMPUR – Kegiatan licik dua pusat kecantikan yang dipercayai menawarkan khidmat pembedahan plastik haram di kondominium mewah terbongkar menerusi Ops Dandan, semalam.
Operasi secara serentak bermula pukul 12.45 tengah hari itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu oleh Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Jabatan Imigresen.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan membabitkan empat premis di tiga kediaman di sekitar Cheras dan Bukit Jalil. Siasatan mendapati dua pusat rawatan kecantikan beroperasi secara haram mengunakan premis kediaman dan doktor warga asing.
“Mereka disyaki menawarkan pembedahan plastik kepada pelanggan secara haram,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Menurutnya, hasil serbuan, pihaknya menahan tujuh wanita Vietnam dan dua wanita tempatan yang berperanan sebagai pekerja. Pihak berkuasa turut merampas peralatan pembedahan, ubat-ubatan tanpa kelulusan, alat implan dan wang RM9,070.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 55E, Seksyen 56(1(d), 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Sebanyak dua borang saman saksi dikeluarkan kepada pekerja tempatan bagi tujuan siasatan,” ujarnya, – KOSMO! ONLINE














