fbpx
Syamsul Iskandar selepas membayar ikat jamin hari ini.

Shamsul Iskandar bayar ikat jamin hasil kutipan dana 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membayar ikat jamin RM150,000 yang ditetapkan Mahkamah Sesyen menerusii kutipan dana yang digerakkan oleh rakan-rakan serta pimpinan parti.

Perkara itu dinyatakan peguam belanya, Mohd. Yusmadi Yusoff ketika ditemui selepas prosiding hari ini.

Menurut peguam itu, jumlah jaminan itu melebihi kemampuan kewangan Shamsul.

“Ini menyebabkan Shamsul terpaksa bergantung kepada sumbangan yang dikumpulkan secara pantas selepas prosiding pagi tadi. Shamsul tidak mampu menyediakan jaminan sebanyak itu, namun bantuan daripada pimpinan PKR dan sahabat-sahabatnya membolehkan perkara ini diselesaikan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes.

Terdahulu, Shamsul Iskandar bertekad membersihkan namanya selepas berdepan empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Shamsul Iskandar berkata, sejak siasatan bermula beliau mengambil pendekatan proaktif dengan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan yakin proses mahkamah akan membuktikan dirinya tidak bersalah.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Shamsul, Datuk Amer Hamzah Arshad, mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi keterlaluan berhubung kes itu dan menegaskan Shamsul akan mempertahankan dirinya melalui proses undang-undang yang ada.

Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah.

Shamsul Iskandar, 51, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, telah secara rasuah menyetuju terima untuk dirinya suapan, iaitu wang tunai RM100,000.00 daripada Tei Jiann Cheing.

Ia sebagai dorongan membantu syarikat-syarikat lelaki itu mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di negeri Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.

Bagi pertuduhan menerima rasuah, tertuduh didakwa telah memperoleh untuk dirinya sendiri satu suapan, iaitu wang tunai RM40,000 daripada individu sama dan sebagai dorongan yang sama.

Sementara untuk dua lagi pertuduhan, tertuduh atas jawatan yang sama telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan, iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik masing-masing bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama dan sebagai dorongan yang sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 7 Disember 2023 dan 5 Mac 2024.

Justeru bagi keempat-empat kesalahan tersebut pertuduhan dikemukakan mengikut seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan Shamsul Iskandar yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari depan bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN