fbpx
Abdul Haris dan anaknya meredah banjir setelah air mencapai paras bahaya di kawasan sekolah di Hulu Langat pagi tadi.

Redah banjir, ambil anak balik sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU LANGAT – Hujan sejak awal pagi sekali lagi menenggelamkan beberapa kawasan di Hulu Langat, memaksa ibu bapa meredah banjir paras lutut untuk mengambil anak dari sekolah ketika air mula naik sekitar pukul 7 pagi.

Seorang buruh, Abdul Haris Zayadi, 54, melalui detik cemas apabila terpaksa berpatah balik dari menghantar anak ke Sekolah Agama Sungai Serai selepas paras air naik mendadak dalam tempoh singkat.

“Masa nak hantar anak, air cetek lagi. Tapi dekat kawasan Nanding dah ada tanda naik. Balik dari sekolah, air dah paras atas lutut,” ujarnya.
Katanya, kejadian itu berulang hampir setiap minggu dan dua minggu sebelum ini, rumahnya turut dinaiki air sehingga menyebabkan kerugian lebih RM2,000.

“Dua minggu lepas pun kena. Baru bersih, baru susun perabot, sekarang kena lagi. Memang penat. Kita tunggu surut dulu. Kalau makin teruk, baru pergi PPS,” katanya.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan ketika ditemui pemberita berkata, banjir kali ini lebih cepat naik berbanding kejadian dua minggu lalu hingga menjejaskan banyak kawasan termasuk Batu 18, Dusun Tua, Sungai Sop, Sungai Tekali dan Sungai Serai.

“Pagi tadi saya turun di Sungai Tekali, ada jalan terputus. Kita terpaksa hantar lori untuk bawa pelajar SPM ke sekolah. Alhamdulillah semua berjaya sampai untuk ambil peperiksaan hari ini,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini hanya satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Rendah Sungai Serai.

Beliau berkata, antara punca kekerapan banjir adalah aliran air yang tersekat kerana paras laut naik dan cuaca monsun yang tidak menentu.

Menurutnya, Perdana Menteri telah meluluskan projek tebatan banjir Sungai Langat bernilai RM512 juta yang dijangka dimulakan pada suku pertama 2026 selepas proses reka bentuk selesai.

Dalam perkembangan terkini, polis menutup sementara dua laluan utama di kawasan Sungai Serai dan Nanding kerana paras air yang meningkat dan faktor keselamatan pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI