fbpx
SEORANG anggota keselamatan berjalan melintasi kenderaan yang rosak di lokasi serangan udara Russia di Dnipro pada 1 Disember lalu. – AFP

Rakyat Eropah anggap risiko perang dengan Russia tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARIS – Majoriti rakyat di sembilan negara Kesatuan Eropah (EU)  melihat risiko tinggi tercetusnya perang antara EU dan Russia, demikian menurut tinjauan oleh kumpulan kaji selidik  Cluster 17 yang diterbitkan hari ini.

Keputusan kaji selidik yang diterbitkan dalam jurnal hal ehwal antarabangsa Perancis, Le Grand Continent  itu adalah berdasarkan sampel hampir 10,000 responden dari sembilan negara EU. 

Tinjauan tersebut dilakukan selepas lebih tiga setengah tahun perang Ukraine tercetus pada 2022.

Bulan lalu, Jeneral  kanan Perancis, Fabien Mandon memberi amaran bahawa Russia sedang melakukan persiapan untuk konfrontasi baharu menjelang 2030. Presiden Vladimir Putin berkata kelmarin bahawa jika Eropah mahukan perang, ‘kami bersedia sekarang’.

Tinjauan itu menunjukkan 51 peratus responden percaya terdapat risiko ‘tinggi’ atau ‘sangat tinggi’ Russia akan berperang dengan negara-negara  mereka dalam tahun-tahun akan datang.

Negara-negara yang terlibat dalam kaji selidik itu termasuk Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Poland, Portugal, Croatia, Belgium dan Belanda, dengan sampel lebih daripada 1,000 orang di setiap negara.

Kebimbangan berhubung perang dengan Russia  bagaimanapun berbeza-beza.

Di Poland yang bersempadan dengan Rusia dan sekutunya Belarus, 77 peratus responden menganggap risiko itu tinggi atau sangat tinggi.

Angka itu menurun kepada 54 peratus di Perancis dan 51 peratus di Jerman.

Sementara itu, 65 peratus responden Itali menganggap risiko itu rendah atau tidak wujud.

Majoriti besar 81 peratus  warga EU pula berkata,  risiko untuk perang tercetus antara EU dan China dalam tahun-tahun akan datang pula adalah sangat rendah atau sifar. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI