JAKARTA – Bintang bola sepak Indonesia, Marselino Ferdinan terlepas peluang untuk membantu pasukan itu pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 apabila masih belum pulih daripada kecederaan hamstring.
Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Indonesia, Indra Sjafri mengesahkan perkara tersebut selepas berhubung dengan kelab pemain itu, AS Trencin yang beraksi dalam Liga Super Slovakia.
Indra berkata, meskipun tanpa kehadiran Marselino, Indonesia masih memiliki kemampuan untuk mempamerkan aksi terbaik dalam usaha mereka bagi mempertahankan pingat emas dimenangi di Kemboja dua tahun lalu.
“Saya sudah berhubung dengan kelab Marselino dan mereka tidak boleh melepaskannya untuk menyertai pasukan negara kerana masih belum pulih daripada kecederaan hamstring yang dialami sebelum ini.
“Namun, kita memang sudah bersedia dengan situasi seperti ini dan memanggil Rifqi Ray Farandi dari pasukan Persik Kediri. Dia akan bersama pasukan di Thailand bagi mengharungi Sukan SEA,” katanya.
Sebagai rekod, Indonesia memenangi pingat emas pada edisi 2023 yang berlangsung di Kemboja selepas menewaskan Thailand, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan pasukan itu dalam tempoh 32 tahun.
“Saya berterima kasih kepada PSSI (Persekutuan Sepak Bola Seluruh Indonesia), Liga Indonesia serta pasukan-pasukan luar kerana membantu kami membentuk pasukan terbaik ke Sukan SEA. Mereka merupakan sebahagian daripada pasukan ini,” ujar Indra. – AGENSI














