fbpx

Lesap RM4,500, tumpangkan kawan baru kenal 3 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG JAYA – Hasrat seorang wanita menumpangkan kenalannya yang tiada tempat tinggal berakhir dengan kekecewaan apabila barang peribadi berjumlah RM4,500 dilarikan dalam kejadian di Jalan Permai Jaya, Taman Permai Jaya, di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu berusia 29 tahun pada 28 November kira-kira pukul 1.40 petang.

Beliau berkata, pengadu dimaklumkan oleh anak perempuannya bahawa beberapa barangan di dalam rumah hilang.

“Siasatan awal mendapati telefon bimbit, beg bagasi yang mengandungi pakaian serta wang tunai RM4,500 milik pengadu hilang disyaki dicuri oleh seorang perempuan warga Myanmar.

“Pengadu mengenali suspek sejak tiga bulan lalu dan menumpangkannya di rumah kerana suspek tiada tempat tinggal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Azam, kejadian berlaku ketika mangsa tiada di rumah sebelum suspek dipercayai masuk ke bilik tidur utama dan melarikan barangan berkenaan.

Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menjalankan risikan dan berjaya menahan suspek.

“Pada Isnin lalu kira-kira pukul 11.30 malam, polis menahan suspek di Taman Nirwana, Ampang. Turut dirampas sebuah telefon bimbit, pakaian dan beg bagasi bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama empat hari bermula Selasa hingga esok bagi melengkapkan siasatan.

Tambahnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN