fbpx
Gambar hiasan.

Kerajaan dalam proses sekat umur bawah 16 tahun akses media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pemberi perkhidmatan dalam talian bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna dibawah umur 16 tahun berdasarkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak terbabit juga wajib memastikan kandungan yang dipaparkan kepada pengguna di bawah umur 18 tahun bersesuaian dengan tahap usia mereka.

Menurut beliau, perkara itu terkandung dalam 10 perundangan subsidiari di bawah Akta 866 yang sedang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

“Selain itu, pemberi perkhidmatan juga perlu menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan mereka. Pemberi perkhidmatan akan dikehendaki menyediakan suatu pelan keselamatan dalam talian mengenai pematuhan mereka terhadap kewajipan di bawah Akta 866,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) sama ada Kementerian Komunikasi bersedia menggubal undang-undang menyekat atau melarang remaja di bawah umur 16 tahun menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

Fahmi berkata, undang-undang itu antara usaha berterusan kerajaan dalam memastikan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada kanak-kanak, keluarga serta golongan rentan yang terdedah kepada kemudaratan dalam talian.

Terdahulu, beliau berkata, Kementerian Komunikasi melalui MCMC sedang mengambil pendekatan menyeluruh bagi mengawal kandungan dalam talian yang boleh memudaratkan golongan tersebut.

Kata beliau, beberapa undang-undang berkaitan telah digubal dan dilaksanakan termasuk menguatkuasakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)).

Jekas beliau, langkah itu memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan bertanggungjawab daripada segi kawal selia kandungan serta pengurusan algoritma.

Tambah beliau, bagi menyokong kerangka pelesenan itu, MCMC menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial.

“Kod ini menggariskan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan yang memudaratkan termasuk keperluan untuk melaksanakan langkah-langkah verifikasi umur, menyediakan tetapan kawalan bagi ibu bapa atau penjaga yang efektif dan memperkasa fungsi untuk pengguna kanak-kanak melindungi diri mereka daripada kandungan mudarat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI