SELAKU juara dunia, gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei diberikan kepercayaan sebagai kapten bagi mengetuai pasukan masing-masing pada temasya Sukan SEA Thailand 2025.
Berdasarkan prestasi semasa serta pengalaman di pentas tertinggi, Tang Jie menggalas tugas selaku kapten skuad berpasukan lelaki, manakala Ee Wei akan mengetuai rakan sepasukan acara berpasukan wanita.
Tang Jie berkata, pelantikan sebagai kapten mampu menjadi suntikan semangat serta dorongan untuk membantu pasukan lelaki mencapai sasaran pingat emas yang diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Pertama sekali, saya mahu berterima kasih kepada Rexy (Mainaky) kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk memikul tanggungjawab ini. Bagi saya, ini merupakan satu motivasi untuk diri sendiri.
“Ini juga merupakan peluang untuk saya belajar bagaimana menjadi kapten pasukan. Memang sangat gembira kerana diberikan peluang ini tetapi saya juga ada sasaran sendiri bersama Ee Wei,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.
Tang Jie pernah menyumbang pingat emas buat kontinjen negara di Sukan SEA ketika muncul juara edisi Hanoi 2021 di Vietnam dalam acara beregu campuran bersama Peck Yen Wei.
Ee Wei turut menyuarakan rasa gembira kerana diberikan kepercayaan mengetuai berpasukan wanita selain bersedia melakukan yang terbaik bagi memberikan sokongan kepada negara.
“Terima kasih kepada jurulatih kerana berikan kepercayaan kepada saya dan Tang Jie, jadi saya akan buat yang terbaik bagi membantu dan menyokong pasukan. Kita akan bermain acara berpasukan dulu, jadi perlu sokong antara satu sama lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














