KOTA BHARU – Seorang guru mengaji al-Quran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal menggunakan panggilan video menerusi telefon bimbit dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun antara Mac hingga Jun lalu.
Tertuduh, Huzaifah Ismail, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah berkomunikasi secara seksual menggunakan telefon bimbit dengan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun enam bulan ketika kejadian.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kubang Kerian di sini pada 13 Mac hingga 11 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(1) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 27 akta tersebut.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Huzaifah didakwa dengan maksud seksual melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama yang ketika itu berusia 11 tahun sembilan bulan di lokasi sama kira-kira pukul 4.18 pagi pada 21 Jun dan 6.01 petang pada 26 Jun lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohd. Naqib Mohamad Noor.
Terdahulu, Siti Hajar tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh merupakan seorang guru al-Quran manakala mangsa merupakan anak muridnya.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 8 Disember ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














