fbpx
QUARTARARO mahu menilai kemampuan projek jentera baharu enjin V4 sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya. - AFP

Bayangan Quartararo tinggalkan Yamaha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

VALENCIA – Juara dunia 2021, Fabio Quartararo memberi isyarat masa depannya bersama Yamaha semakin kabur apabila menilai kempen MotoGP 2025 sebagai musim hambar dan mengecewakan sebelum memberikan markah sederhana 5 daripada 10 terhadap prestasinya.

Pelumba Perancis itu mengakui hampir tiada memori manis untuk dikenang sepanjang musim ini biarpun beberapa kali menampilkan aksi cemerlang walaupun menunggang jentera YZR-M1 yang terus dihimpit masalah prestasi.

Dalam keadaan Yamaha jatuh ke tangga tercorot pengeluar di belakang Honda, Quartararo tetap menjadi penyelamat maruah pasukan itu apabila meraih lima petak utama serta tiga podium sprint dan Grand Prix (GP).

Jumlah 201 mata dikumpulnya juga mengatasi gabungan tiga lagi pelumba Yamaha, Alex Rins, Jack Miller dan Miguel Oliveira yang sekadar menghimpun 190 mata keseluruhan.

“Dari satu hingga 10? Saya bagi lima kerana musim 2025 sangat sukar. Saya sudah buktikan masih pantas, itu yang paling penting. Kita tahu betapa sukarnya mendapatkan keputusan dengan motosikal ini, tiada apa yang boleh dikenang,” katanya.

Quartararo hampir menamatkan kemarau kemenangan sejak 2022 pada GP British, namun segalanya musnah selepas masalah teknikal ketika sedang mendahului perlumbaan.

Pelumba berusia 26 tahun itu turut mengakui keletihan mental kerana terpaksa bergelut dengan jentera tidak kompetitif sepanjang musim dan memerlukan rehat secukupnya.

“Saya beri 100 peratus setiap masa, tetapi kadang-kadang hasilnya hanya keempat, keenam, ke-10 atau terjatuh,” katanya.

Lebih membimbangkan apabila Quartararo turut mengeluarkan amaran mengenai masa depannya disebabkan kontraknya tamat pada penghujung 2026 dan sebarang keputusan untuk kekal bergantung sepenuhnya kepada kemampuan projek jentera baharu enjin V4.

“Saya tiada masa, saya hanya mahu projek itu berjaya. Jika tidak, sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI