PUTRAJAYA – Seorang wanita warga Malaysia berusia 64 tahun dilaporkan masih gagal dikesan susulan kejadian banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara sejak 27 November lalu.
Susulan itu, Kementerian Luar berkata, usaha pengesanan masih giay diteruskan dengan kerjasama rapat antara Konsulat Jeneral Malaysia di Medan selain pihak berkuasa tempatan dan rangkaian komuniti setempat.
Katanya, rakyat Malaysia yang mempunyai sebarang maklumat bagi membantu pengesanan beliau diminta menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dengan segera.
“Dalam perkembangan berasingan, tiga rakyat Malaysia berusia antara 63 hingga 64 tahun yang sebelum ini gagal dihubungi sejak 27 November telah berjaya dikesan. Mereka dibawa keluar dari kawasan yang terputus hubungan akibat banjir dan diterbangkan oleh Tentera Udara Indonesia dari Lapangan Terbang Rembele, Takengon ke Medan.
“Mereka tiba di Lapangan Terbang Kualanamu pada petang semalam. Konsulat Jeneral sedang mengatur kepulangan mereka ke Malaysia secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Jelas Wisma Putra, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh di Padang Panjang kini memasuki hari ketujuh.
“Usaha mencari masih diteruskan di kawasan tebing sungai dan zon tanah runtuh berhampiran Jambatan Kembar. Konsulat Jeneral terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia dan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa yang kini berada di lokasi bagi membantu dalam proses pengecaman dan pengesahan,” katanya.
Wisma Putra berkata, Kementerian Luar Negeri, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, terus memantau situasi itu dengan misi SAR serta pemulihan masih diteruskan.
“Pihak berkuasa Indonesia telah membuka semula beberapa laluan darat di pedalaman, sekali gus membolehkan penghantaran bekalan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan lain dilaksanakan secara lebih teratur.
“Usaha membaik pulih jalan utama juga sedang giat dijalankan dengan sasaran untuk memulihkan laluan penting menjelang pertengahan Disember bagi mempercepatkan kerja-kerja pemulihan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














