KLUANG – Usaha seorang tahanan di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP), Jalan Mersing dekat di sini meloloskan diri tidak berhasil apabila lelaki itu diberkas sejam selepas melarikan diri bersembunyi di kawasan berhampiran reban ayam di Kampung Sri Timur di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian diterima sekitar pada pukul 4.25 petang.
Menurutnya, laporan itu dibuat oleh seorang pegawai penjara di PRP berkenaan selepas menyedari banduan terbabit hilang daripada kawalan.
“Susulan maklumat yang diterima, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bersama Jabatan Penjara Daerah Kluang telah melancarkan operasi mengesan suspek.
“Hasil tindakan pantas pasukan operasi, banduan lelaki tempatan berusia 26 tahun itu berjaya ditemui dan ditangkap semula kira-kira pukul 5.30 petang berhampiran sebuah reban ayam di Kampung Sri Timur,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Tambahnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 233 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai banduan yang dipercayai melarikan diri dengan kemungkinan menuju ke kawasan ladang sawit berhampiran, sebelum gambar penangkapannya di Kampung Sri Timur turut tersebar. – KOSMO! ONLINE














