fbpx
Nana menutup mukanya semasa ditahan polis. - Matichon

Aset RM1.3 juta milik pelakon dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Seorang pelakon Thai, Rybena ‘Nana’ Intachai ditahan polis berhubung satu skandal penipuan, dengan aset miliknya bernilai kira-kira 10 juta baht (RM1.3 juta) turut dirampas, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Pegawai polis menahan Nana di rumahnya di Phra Khanong, Bangkok semalam dan menggeledah hartanah itu sebelum merampas beberapa barang milik aktres tersebut. Ia termasuk sebuah kereta Mini Cooper Aceman ‘hatchback’ putih, tujuh telefon bimbit, dua beg berjenama, 11 barang koleksi mainan seni, kira-kira 50 barang kemas, jam tangan dan aksesori lain.

Polis juga menemukan dompet kripto lejar yang digunakan untuk menyimpan mata wang kripto dengan selamat, tetapi tidak mendedahkan nilai aset digital dikaitkan dengan peranti itu.

Akhbar ThaiRath melaporkan, Nana dibawa ke Bahagian Pembanterasan Jenayah untuk disoal siasat sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan).

Polis ketika sidang akhbar berkata, seramai 17 mangsa termasuk rakan karib Nana, telah memfailkan aduan sejak pertengahan November lalu. 

Pegawai berkata, ganti rugi yang disahkan kini berjumlah sekitar 195 juta baht (RM25 juta), lebih rendah daripada angka yang dilaporkan secara meluas iaitu 400 juta baht (RM51 juta).

Menurut penyiasat, Nana didakwa memujuk mangsa untuk melabur dengannya dalam beberapa skim. 

Ia termasuk menawarkan pinjaman sebagai pertukaran untuk pulangan bulanan sebanyak empat hingga tujuh peratus, pelaburan saham palsu, usaha niaga restoran dan projek gelanggang bola keranjang.

Salah seorang rakan karibnya, pelakon terkenal Janie Tienphosuwan, kerugian sekitar 3 juta baht (RM385,000) selepas melabur dalam sebuah restoran di Amerika Syarikat yang tidak wujud.

Nana menafikan semua pertuduhan serta memberitahu pegawai bahawa dia tidak menyedari tindakannya adalah menyalahi undang-undang. 

Dia berkata, dirinya hanya meminjam wang untuk menyokong perniagaannya dan percaya dia akan dapat membayar balik semua individu tersebut. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN