KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut keempat-empat pertuduhan Albert didakwa memberikan suapan wang tunai RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada Shamsul Iskandar.
Ia sebagai dorongan membantu syarikat tertuduh mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Albert diikat jamin 70,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Tarikh 8 Januari ini ditetapkan bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














