fbpx
AIDIL tekad memberikan prestasi terbaik untuk menyumbangkan mata kemenangan sekiranya diturunkan pada Sukan SEA nanti. - IG AIDIL SHOLEH

Aidil sedia sumbang mata kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSEORANGAN lelaki profesional, Aidil Sholeh Ali Sadikin menyuarakan sudah bersedia untuk menggalas misi penting menjelang temasya Sukan SEA 2025 di Thailand yang akan bermula 9 hingga 20 Disember ini.

Bakal beraksi dalam acara berpasukan lelaki, pemain berusia 25 tahun itu dijangka turun sebagai perseorangan ketiga di belakang Leong Jun Hao dan Justin Hoh, sekali gus bakal menjadi sandaran seandainya kedudukan terikat 2-2.

Bagaimanapun, Aidil sudah bersedia sepenuhnya untuk menggalas misi menyumbang mata kemenangan buat pasukan negara sekiranya situasi itu berlaku walaupun tidak pernah bermain dalam acara berpasukan.

“Kalau ketika itu kedudukan 2-2 dan perlu turun bermain dalam aksi penentuan, memang akan rasa tekanan kerana saya tidak pernah bermain dalam acara berpasukan, lebih-lebih lagi untuk mata penentuan.

“Saya pernah bersama ke Piala Thomas tetapi tiada peluang bermain. Sekiranya perkara itu berlaku nanti, saya tidak mahu fikir terlalu banyak dan keluarkan permainan sendiri,” katanya.

Pada Sukan SEA kali ini, pemain naungan Sports Affairs itu akan menggalas tanggungjawab dalam acara berpasukan lelaki bersama Jun Hao, Justin, Eogene Ewe, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Chen Tang Jie dan Hoo Pang Ron.

Sementara itu, Aidil yang kini menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sebagai persiapan terakhir ke Sukan SEA mengakui tidak terkejut dengan pemilihannya kerana sudah mempamerkan aksi terbaik sepanjang musim ini.

“Sebenarnya saya tidak jangka tetapi mereka (BAM) menghubungi saya dan jemput ke Sukan SEA. Sudah tentu saya rasa gembira kerana dapat peluang bermain dengan rakan sepasukan yang lain dan untuk negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI