fbpx
Nik Saiful (kanan) berbincang dengan Mahani (kiri) dan Sharifah ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kota Bharu hari ini.

6 tukang sapu menang saman majikan ‘mengelat’ bayar baki gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Enam tukang sapu termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) menang saman terhadap sebuah syarikat pembersihan yang mengelat daripada membayar baki bayaran gaji minimum ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh setahun dua bulan sebanyak RM28,500.

Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Shamsul Bahrin Abdul Manaf selepas menolak rayuan syarikat pembersihan, Monson Tropical Trading selaku perayu yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 iaitu RM1,500 semasa enam responden ditugaskan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) di sini bermula Mei 2022 hingga Julai 2023.

Enam responden itu diketuai Zuhaida Daud, Mohamad Safuan Zakaria yang merupakan OKU lembam, Sharifah Mohamad, Mahani Daud, Mohd. Hafizi Mohd. Arshad dan Muhammad Nasharudin Samsudin.

Shamsul Bahrin menegaskan, perintah gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan mengatasi persetujuan kontrak dan perjanjian sebelum ini yang sudah tidak sah.

“Perintah yang ditetapkan kerajaan sewajarnya memberi perlindungan maksimum kepada pekerja. Sehubungan itu, mahkamah memerintah pihak perayu membayar baki gaji sebanyak RM28,500 kepada enam pekerja mengikut perintah gaji minimum yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Keenam-enam responden diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan manakala peguam, Muhammad Habil Zainal Abidin mewakili pihak perayu.

Sebelum ini, seramai 15 pengadu yang diketuai Zuhaida memfailkan tuntutan tunggakan gaji terhadap Monson Tropical Trading di Pejabat Tenaga Kerja Kota Bharu pada 15 Mei 2024.

Tuntutan melibatkan kesemua pengadu itu mendakwa mereka yang merupakan pekerja kepada defendan berjawatan tukang sapu dan ditugaskan di bangunan pejabat SUK.

Kesemua pengadu mendakwa gaji pokok terakhir adalah sebanyak RM1,200 sebulan dan hari terakhir mereka bekerja adalah pada 31 Julai 2023.

Bagaimanapun, hanya enam responden yang tampil memberi keterangan Pejabat Tenaga Kerja.

Ketua Pengarah Tenaga Kerja membenarkan tuntutan tunggakan gaji minimum sebanyak RM28,500 kepada semua pengadu pada akhir kes tersebut.

Monson Tropical Trading selaku perayu yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Pejabat Tenaga Kerja telah merayu keputusan itu kepada Mahkamah Tinggi di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN