TANAH MERAH – Hajat seorang pelajar pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) untuk membawa ibu bapanya menunai umrah tahun depan tidak kesampaian selepas kereta yang dia pandu terbabas ke dalam sebuah tasik di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, Muhammad Amidee Abdullah, 25, yang memandu kereta jenis Perodua Axia disahkan meninggal dunia akibat lemas di dalam tasik tersebut manakala rakannya sempat menyelamatkan diri.
Ibu mangsa, Saidah Sulaiman, 51, berkata, Muhammad Amidee yang melanjutkan pengajian PhD Mineralogi di Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi UMK berjanji akan membawanya bersama suami menunaikan umrah selepas lepas tamat pengajian pada tahun depan.

“Arwah merupakan anak yang baik dan pintar. Disebabkan itu, dia boleh melanjutkan pengajian ke peringkat PhD secara ‘fast track’ selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda di UMK.
“Selain berhasrat untuk hantar saya dan suami, Abdullah Mokhtar, 59, menunaikan umrah, arwah juga berhasrat benar untuk baiki rumah kami sebaik tamat pengajian,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Pondok Hidayah di sini hari ini.
Saidah memberitahu, sebelum keluar dari rumah untuk ke UMK Jeli pagi semalam, arwah yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik itu sempat mencium dan bersalam dengannya.
Jenazah Muhammad Amidee selamat dikebumikan kira-kira 11.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chawas di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














