KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung kes seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan kerana disyaki memiliki dadah pada September lalu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya juga telah menerima laporan patologi daripada Jabatan Kimia bagi melengkapkan keseluruhan siasatan kes tersebut.
“Kertas siasatan itu juga telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Pemantapan Polis Kuala Lumpur Merentasi Cabaran Memacu Kesejahteraan Siri 3, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bahawa TPR berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada 23 September lalu selepas ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan positif dadah.
Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 12(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek direman selama tiga hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangan dirakam, sementara kertas siasatan dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi mendapatkan arahan lanjut. – KOSMO! ONLINE














