GUA MUSANG – Laluan FT185 Seksyen 107.6, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau di sini yang menghala ke Cameron Highlands, Pahang ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan kejadian tanah runtuh tengah malam tadi.
Jabatan Kerja Raya (JKR) memberitahu, runtuhan tanah melibatkan jalan sepanjang 200 meter itu berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam dan ditutup bermula hari ini sehingga tarikh yang dimaklum kelak.
“Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan dua laluan alternatif sebagai jalan perhubungan sementara.
“Pengguna jalan raya dari Gua Musang yang ingin ke Cameron Highlands boleh menggunakan laluan Sungai Koyan-Ringlet-Cameron Highland. Perjalanan ke Ipoh, Perak pula melalui Jalan Gua Musang-Sungai Koyan-Ringlet-Tapah-Ipoh,” katanya. – KOSMO! ONLINE














