PUTRAJAYA – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei akan didakwa di mahkamah esok atas pertuduhan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Shamsul Iskandar dan Albert dijangka berdepan lima pertuduhan berkaitan rasuah dan masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Beliau berkata, siasatan kes berkenaan telah lengkap dan kedua-dua mereka akan dituduh di mahkamah mengikut Akta SPRM 2009.
“Esok, Shamsul Iskandar dan Albert akan berdepan empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, manakala Jumaat ini pula satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Shamsul Iskandar akan dituduh mengikut Seksyen 17(a) (menerima suapan), manakala Tei pula akan dituduh mengikut Seksyen 17(b) (memberi suapan),” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Azam berkata, seorang lagi individu yang ditahan sebelum ini iaitu Sofia Rini Buyong tidak dituduh dan dia diklasifikasikan sebagai saksi dengan seramai 32 saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan, tidak termasuk tiga ditangkap.
Dalam perkembangan sama, Azam juga menafikan dakwaan dibuat isteri Tei kononnya pihaknya tidak melanggar prosedur ketika serbuan selain mengacukan pistol terhadap Albert di kediaman mereka baru-baru ini.
Mengulas isu kenapa Albert ditahan lebih awal sedangkan beliau bersedia memberi keterangan, Azam berkata, beliau menjelaskan, penahanan Tei dipercepatkan kerana ia membabitkan kes berprofil tinggi.- KOSMO! ONLINE














