fbpx
Tengku Zafrul meninggalkan bangunan MITI, hari ini.

Sentiasa kata ‘tidak’ kepada salah guna kuasa, rasuah – Tengku Zafrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan tiga pesanan penting sebelum meninggalkan kementerian itu, hari ini.

Beliau menerusi hantaran di media sosial berkata, tiga pesanan beliau kepada warga MITI adalah sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik untuk negara dan rakyat kerana tanggungjawab penjawat awam amat penting.

“Kedua, sentiasa membantu antara satu sama lain dan bangga dengan kerja anda. Yakin pada diri dan kuatkan semangat kerja berpasukan.

“Ketiga, integriti tidak boleh ditawar-menawar. Sentiasa katakan ‘tidak’ kepada salah guna kuasa dan rasuah kerana integriti mengambil masa bertahun untuk dibina, tetapi hanya beberapa minit untuk dimusnahkan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan, Tengku Zafrul dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkuat kuasa hari ini bagi tempoh dua tahun.

Terdahulu, Tengku Zafrul berkata, tempoh tiga tahun beliau di MITI penuh bermakna dan beliau berasa sebak untuk melangkah keluar, tetapi berbangga dengan pencapaian MITI.

Kata beliau, kejayaan MITI bukan kerana siapa yang menjadi menteri, tetapi adalah usaha semua warga MITI dan agensi yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Terima kasih atas sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi. Saya akan sentiasa menjadi penyokong nombor satu MITI di mana sahaja saya berada. Jaga diri dan jagalah nama baik MITI,” kata Tengku Zafrul. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI