PETALING JAYA – Inisiatif pemuliharaan alam sekitar dalam industri makanan negara terus diperkukuh apabila PNH Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dengan Haco Asia, pembekal produk makanan untuk menukarkan hampas biji kopi kepada biochar (arang biologi).
Biochar yang terhasil boleh digunakan untuk meningkatkan kesuburan tanah, berfungsi sebagai bahan bakar bersih dan menjadi komponen penting dalam pembuatan bioplastik moden.
Haco Asia akan menyediakan bekalan tetap hampas biji kopi daripada operasi harian syarikat, sebelum diproses oleh PNH Malaysia menggunakan mesin Low Temperature Carbonization Machine bagi membolehkan sisa organik ditukar kepada bahan karbon berkualiti komersial secara bersih dan efisien.
Ketua Pegawai Operasi PNH Malaysia, Jian Tat Lee berkata, biochar kini semakin mendapat perhatian dalam sektor pertanian, tenaga boleh baharu dan pembuatan bahan terbiodegradasi.
“Keupayaan menukar sisa kopi kepada biochar bukan sahaja mengurangkan kos pelupusan sisa industri makanan, malah membuka ruang baharu dalam penyelidikan dan pembangunan aplikasi hijau,” katanya pada majlis pemeteraian kerjasama di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Haco Asia, Roy C.S. Lee menjelaskan, kerjasama tersebut adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk mengurangkan jejak karbon.
“Hampas kopi yang sebelum ini dianggap sisa kini diberi nilai baharu dan kami yakin perkongsian ini dapat diperluaskan lagi dengan pemprosesan pelbagai bahan biomas lain pada masa hadapan,” katanya.














