KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berada dalam ketakutan kerana diganggu along setelah penyewa rumah miliknya yang berhutang dengan ceti haram tersebut meninggal dunia.
Menurutnya yang mahu dikenali sebagai Cheah, 55, dia terkejut selepas menerima dua notis pinjaman tidak berlesen daripada along terbabit yang ditampal di rumah sewanya pada 12 dan 25 November lalu.
“Penyewa yang berusia 65 tahun sudah meninggal dunia pada 6 November lalu. Dia sudah meninggal dunia, kenapa saya pula yang diugut.
“Dia meninggalkan tunggakan sewa berjumlah RM6,000 dan bil utiliti RM800, tetapi saya pula yang kena berdepan dengan along,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.
Dia yang bekerja sebagai perunting teknologi maklumat berkata, tidak mengetahui langsung tentang pinjaman along yang dibuat oleh penyewanya itu dan menegaskan ugutan itu tidak sepatutnya ditujukan kepadanya.
Katanya, dia sebagai pemilik rumah tidak mempunyai sebarang kaitan dengan hutang along berkenaan, namun along tetap mencari dan mengenakan ugutan terhadapnya.
Dalam pada itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya memandang serius taktik along yang semakin agresif, termasuk melibatkan orang tidak berkaitan walaupun peminjam telah meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE














