PUTRAJAYA – Mana-mana penjawat awam yang disyaki terlibat dalam aktiviti hubungan songsang susulan serbuan pihak berkuasa di sebuah pusat sauna minggu lalu bakal berdepan tindakan hukuman buang kerja atau turun pangkat sekiranya disabit bersalah.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, unit integriti di setiap kementerian dan agensi boleh meneruskan siasatan dalaman terhadap mana-mana pegawai awam yang disyaki terbabit dalam salah laku tidak bermoral itu.
“Semua penjawat awam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 khususnya perenggan 4(2)(d) yang menetapkan bahawa seseorang pegawai tidak boleh berkelakuan dengan sedemikian cara sehingga memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam.
“Kerajaan mempunyai garis panduan bagi menangani permasalahan berkaitan tatakelakuan dalam kalangan pegawai awam seperti Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Melalui peruntukan itu, pegawai boleh dikenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat sekiranya sabit kesalahan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kegiatan sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disyaki menjadi tempat lelaki songsang berkumpul terbongkar selepas serbuan dilakukan pihak berkuasa.
Dalam operasi itu, seramai 201 individu ditahan termasuk 17 penjawat awam melibatkan pelbagai jawatan termasuk doktor pakar, guru, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik serta pegawai agensi penguatkuasaan.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memandang serius salah laku jenayah atau pelanggaran tatakelakuan membabitkan penjawat awam termasuk dalam kegiatan tidak bermoral atau ‘hubungan songsang’.
“JPA berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang. Sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa seperti polis atau pihak berkuasa agama akan diserahkan sepenuhnya untuk dijalankan siasatan terperinci.
“Sebarang tingkah laku yang terbukti mencemarkan nama baik perkhidmatan awam adalah suatu pelanggaran integriti dan tatakelakuan yang serius,” katanya.
Beliau berkata, insiden terbabit adalah kes terpencil dan tidak mencerminkan keperibadian majoriti penjawat awam.
Tegasnya, JPA bagaimanapun memandang serius kes terbabit dan akan memastikan perlakuan seperti itu tidak berulang pada masa akan datang.
“Oleh itu, bagi mengukuhkan integriti dan memastikan kejadian sebegini tidak berulang, Ketua Jabatan diarah untuk memantau gaya hidup dan tingkah laku pegawai seliaan.
“Penerapan nilai murni melalui Unit Integriti di setiap Kementerian, Jabatan perlu dipergiatkan, termasuk saringan psikologi dan sahsiah secara berkala,” katanya. – KOSMO! ONLINE














