JAKARTA – Seorang lelaki terkejut apabila menemukan ‘air terjun’ berbau busuk seperti kumbahan manusia ketika melewat sebuah pantai di Bali, lapor laman berita Detik.
Kejadian berlaku di Pantai Suluban baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @doradeexplorer memaparkan lelaki terbabit berjalan di sekitar pantai sebelum melihat air mengalir dari salah satu tebing.
Dia menunjukkan lengannya selepas melalui tebing tersebut sambil berkata: “Air apakah ini? Baunya sangat busuk! Saya yakin air itu berasal dari tangki kumbahan!” katanya di dalam video itu.
Dia terkejut apabila melihat beberapa pelancong mandi-manda di bawah tebing itu, yang berkemungkinan dianggap sebagai air terjun semula jadi.
Penghulu Pecatu memberitahu bahawa pemeriksaan sedang dijalankan untuk mengenal pasti asal usul air itu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 2.6 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Pantai itu memang berbau busuk!” kata seorang netizen. – AGENSI














