KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita dalam satu serbuan Ops Tapis di sebuah hotel bajet di Chow Kit awal pagi semalam, dengan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2,600 dirampas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sebuah hotel di Lorong Haji Hussien 1, pada pukul 3 pagi.
“Hasil pemeriksaan, polis berjaya menangkap dua individu, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita, serta merampas sebuah beg berzip berwarna hitam yang mengandungi beberapa jenis dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, antara yang dirampas ialah dua paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu seberat 17.76 gram, dua paket mengandungi empat tiub straw heroin seberat 15.62 gram, 10 biji pil Erimin 5 (3.12 gram) serta lapan biji pil Yaba (0.88 gram).
Menurut Sazalee, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM2,664.10.
Katanya, suspek lelaki dikenali sebagai Muhammad Ridzuan Jaafar, 34, manakala wanita terbabit ialah Liyana Nordin, 41 dengan kedua-duanya merupakan penganggur.
“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 16 rekod berkaitan dadah dan empat rekod jenayah, manakala suspek wanita mempunyai dua rekod dadah dan satu rekod jenayah,” katanya.
Jelasnya, ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif pelbagai jenis dadah dan suspek lelaki mengaku memiliki semua dadah yang dirampas,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama. – KOSMO! ONLINE














