PETALING JAYA – Mereka yang mempunyai wang kertas rosak tidak perlu bimbang kerana ia boleh ditukar di mana-mana bank berdekatan, biarpun tidak mempunyai akaun di cawangan tersebut.
Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi hantaran Facebook berkongsi maklumat berkait penukaran wang kertas rosak sebagai panduan kepada orang ramai.
“Jangan risau tentang wang kertas yang rosak. Tukar sahaja di mana-mana bank dan teruskan urusan anda dengan tenang,” menurut hantaran BNM.
Berdasarkan maklumat dikongsikan, bagi kes wang kertas rosak yang jelas nilainya, ia akan diberikan ganti nilai pada hari yang sama.
Syaratnya ialah dua pertiga daripada saiz asal wang masih tidak terjejas, tidak mempunyai contengan pada potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau tulisan memaparkan slogan politik, seterusnya tidak rosak oleh contengan ketara seperti tulisan, angka dan lain-lain.
Bagi kes wang rosak yang kurang jelas nilainya, bank akan merujuk BNM dan akan diberikan ganti nilai pada tarikh lain.
Contoh kerosakan tersebut, mempunyai kesan dakwat, terbakar atau dimakan anak-anai. – KOSMO! ONLINE














