LONDON – Juara dunia MotoGP, Marc Marquez tidak mahu terlalu obses mengejar rekod statistik, namun secara terbuka mengakui fasa penurunan prestasi pasti akan berlaku dalam kariernya.
Pelumba berusia 32 tahun itu mempamerkan dominasi sepanjang musim 2025 bersama Ducati dengan meraih 11 kemenangan Grand Prix (GP) dan 14 aksi sprint, sekali gus menutup kempen dengan gelaran dunia ketujuh.
Marquez mengesahkan kejuaraan tersebut dengan baki lima pusingan, dipacu rentetan prestasi cemerlang mengutip 37 mata maksimum selama tujuh minggu berturut-turut bermula GP Aragon hingga Hungary.
Kejayaan itu menandakan gelaran dunia pertamanya dalam tempoh enam tahun, selain menjadi kejuaraan sulung selepas bangkit daripada kecederaan lengan serius dialaminya pada 2020.
Walaupun terpaksa melupakan empat pusingan terakhir musim ini akibat kecederaan, Marquez tetap menamatkan kempen di kedudukan teratas dengan kelebihan 78 mata.
Menjelang musim 2026, Marquez kini meletakkan sasaran jelas untuk mempertahankan gelaran, namun pada masa sama tetap berhati-hati terhadap cabaran sengit pelumba lain.
“Untuk 2026, masanya sudah tiba untuk berjuang memburu gelaran, tidak kira apa pun caranya. Kemudian kita lihat bagaimana hasilnya.
“Sudah tentu ada proses rehabilitasi yang perlu dilalui. Sasarannya adalah untuk pulih 100 peratus menjelang minggu pertama Mac. Saya tidak mahu terlalu memikirkan rekod ‘12+1’ Angel Nieto kerana ia masih jauh.
“Tetapi inilah lumrah kehidupan, zaman kejatuhan pasti akan tiba, dan pelumba-pelumba muda akan terus memberi tekanan yang keras,” katanya. – AGENSI














