fbpx
Mohamad merasmikan Majlis Pra-Pelancaran MAHA 2026, di MAEPS Serdang, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON.

MAHA 2026 sasar 4 juta pengunjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Penganjuran MAHA 2026 dijangka kembali meriah apabila Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan kedatangan 4 juta pengunjung, sekali gus menjadikan acara dwitahunan itu antara ekspo agromakanan paling besar di rantau ini.

Sasaran itu diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Majlis Pra Pelancaran MAHA 2026, hari ini yang turut menekankan keupayaan acara tersebut menjadi platform dagangan utama melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Persefahaman (MoA).

Mohamad berkata, pencapaian cemerlang MAHA 2024 yang menarik 5.5 juta pengunjung serta kejayaan memeterai 81 MoU dan MoA bernilai RM7.2 bilion menjadi pemangkin kepada sasaran lebih besar tahun ini.

Menurutnya, MAHA 2026 menetapkan target awal RM8 bilion nilai MoU, selain jualan langsung sebanyak RM58 juta dan penyertaan 2,000 pempamer, merangkumi pemain industri tempatan dan antarabangsa.

Katanya, MAHA kali ini bakal menampilkan lebih banyak nilai tambah melalui elemen inovasi, teknologi serta aktiviti interaktif yang diyakini mampu menarik minat golongan muda, termasuk sasaran 800,000 belia dalam pelbagai program yang disediakan.

“Dengan nilai ‘wow factor’ yang dipertingkatkan, MAHA 2026 bukan sekadar pameran biasa, tetapi satu platform strategik untuk melonjakkan ekosistem agromakanan negara,” katanya.

Acara yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 itu turut bersempadan dengan sambutan Hari Kebangsaan, sekali gus dijangka mengundang kehadiran pengunjung yang lebih besar ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Mohamad berkata, antara tarikan utama ialah Pavilion Negeri, pameran teknologi antarabangsa, persembahan laser dan air serta Agro Safari yang akan menampilkan kandungan lebih interaktif.

Beliau menegaskan, sokongan penajaan dan liputan media yang luas adalah faktor penting untuk memastikan sasaran pengunjung dan jumlah MoU dapat dicapai, malah dijangka mampu mengatasi rekod penganjuran sebelum ini.

“Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin MAHA 2026 bukan sahaja mencapai target, tetapi mampu melonjakkan penyertaan pemain industri dan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI