KUALA LUMPUR – Siasatan berhubung klip video berunsur tohmahan yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kini dikendalikan oleh pihak Bukit Aman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan kes berkenaan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan Dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan telah diambil alih oleh USJT, kita akan membantu mereka untuk menjalankan siasatan secara komprehensif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Pemantapan Polis Kuala Lumpur Merentasi Cabaran Memacu Kesejahteraan Siri 3 di sini, hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan, seorang pegawai SPRM membuat laporan polis berhubung klip video yang disiarkan di akaun Facebook Pejuang Tun Dr Mahathir, yang mengandungi tohmahan terhadap Azam.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, laporan itu dibuat di lbu Pejabat Polis Daerah Putrajaya susulan tohmahan dalam video perbualan melibatkan seorang wanita dengan ahli perniagaan bernama Albert Tei. – KOSMO! ONLINE














