PETALING JAYA – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dilaporkan hilang di Taman Bayu Height, Seri Kembangan sejak 28 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan kehilangan Jose Chan Huo Yuan, 15, dibuat oleh ibunya kira-kira pukul 12.19 tengah hari semalam.
Beliau berkata, berdasarkan laporan ibu mangsa berusia 46 tahun itu, anaknya dilaporkan hilang sejak pukul 9.16 pagi pada 28 November lalu.
“Lokasi terakhir mangsa dilihat adalah di di No.9 Jalan Bayu Height 2, Taman Bayu Height di Seri Kembangan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Naazron berkata, remaja berkenaan berketinggian kira-kira 170 sentimeter (cm) dengan berat badan 70 kilogram (kg).
Selain itu, remaja berkenaan berkulit cerah dan memakai cermin mata.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung individu berkenaan diminta memberi menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Aidhil Othman di talian 019-3713937,” katanya. – KOSMO! ONLINE














