fbpx
FILEM seram Taiwan, Mudborn kini menjadi filem bahasa Mandarin terlaris di pawagam antarabangsa, termasuk di Malaysia.

Hantu anak patung tanah liat pecah rekod, terlaris 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM memasuki pawagam dan menjadi filem seram Mandarin nombor satu di Malaysia ketika ini, naskhah seram thriller Taiwan berjudul Mudborn arahan pengarah terkenal Shieh Meng-Ju sebenarnya sudah mencipta fenomena luar biasa di negara sendiri.

Dalam tempoh singkat, naskhah berkenaan berjaya mengutip lebih RM10 juta untuk tayangan di Taiwan, sekali gus memecahkan rekod untuk filem seram berbahasa Mandarin di negara berkenaan bagi tahun 2025.

Pencapaian mengagumkan itu turut mengukuhkan kedudukan Mudborn sebagai antara filem seram Cina paling laris tahun ini, membuktikan genre seram masih mempunyai pengaruh kuat di hati penonton, termasuk di Malaysia.

Diinspirasikan daripada lagu kanak-kanak terkenal Ni Wa Wa, Ni Wa Wa, Yi Ge Ni Wa Wa…(Anak Patung Tanah Liat) dengan lirik kedengaran riang, senikata tersebut menyimpan sisi gelap yang semakin menyeramkan apabila didengar kembali sewaktu dewasa. Antara bait yang sering diperkatakan adalah, ‘matanya tidak berkelip, mulutnya tidak berkata, dia bukan anak patung sebenar…”

Mudborn mengangkat kisah seorang pereka permainan VR bernama Hsu-Chuan, yang membawa pulang anak patung tanah liat yang sudah pecah yang ditemuinya di sebuah rumah tinggal berhantu.

Isterinya, Muhua, seorang konservator artifak yang sedang hamil, menjadi semakin obses untuk memulihkan patung itu tanpa menyedari bahawa setiap sentuhan membangkitkan sesuatu yang lebih misteri.

Sejak patung itu memasuki rumah, pasangan terbabit mula diganggu kejadian aneh yang semakin hari semakin sukar dijelaskan. Dari bisikan halus hingga perubahan tingkah laku Muhua. Malah, ketenangan rumah tangga mereka juga semakin hilang, membuatkan penonton turut merasai tekanan dan ketakutan yang menyelubungi.

Dalam keadaan semakin terdesak, Hsu-Chuan mendapatkan bantuan seorang bomoh dan psikik, Ah-Sheng yang akhirnya membongkar sejarah sumpahan patung tanah liat yang menakutkan itu. Tragedi silam dan dendam tidak berpenghujung antara rahsia yang menambah intensiti jalan cerita Mudborn.

Tidak hanya jalan cerita menarik, Mudborn diperkuatjab barisan pelakon berbakat besar termasuk Yang Yo-Ning iaitu pemenang Anugerah Golden Horse, serta bintang Hong Kong Cecilia Choi, Derek Chang, Puff Kuo dan Joanne Tseng.

Mudborn juga menggabungkan elemen VR, mistik tradisional, sumpahan purba dan gangguan supernatural dalam satu naskhah yang segar. Gabungan antara dunia moden dan kepercayaan lama menjadikan filem ini mempunyai tekstur seram yang unik, bukan sekadar mengejutkan, tetapi juga membuatkan penonton terus berfikir.

Sebagai sebuah filem Taiwan, Mudborn membawa citarasa budaya Asia Timur yang jarang dilihat dalam filem arus perdana. Reka bentuk visual, kesan bunyi yang mendebarkan serta sinematografi yang terperinci menjadikan pengalaman menontonnya lebih memuaskan.

Dengan sambutan hebat, Mudborn membuktikan bahawa filem seram Mandarin mampu menyaingi populariti filem tempatan termasuk kejayaan filem Malaysia seperti Malam Terlarang yang turut mencatat rekod membanggakan sebelum ini.

Tidak hanya menawarkan elemen seram, Mudborn juga hadir dengan pengalaman mendalam yang menggambarkan obsesi, fragiliti hubungan manusia dan ketakutan terhadap perkara yang tidak dapat dilihat.Jika bersedia untuk sebuah pengalaman seram yang mengusik jiwa dan meninggalkan bayangan ngeri yang sukar dilupakan, pergilah menonton. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI