PETALING JAYA – Sebuah gerakan kultus berasal dari Korea menggunakan nama Jesus dengan pelbagai dakwaan yang sangat janggal dan menyimpang sedang aktif di Malaysia.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, aliran Kristian yang utama juga tidak mengiktiraf gerakan kultus berkenaan.
“Gerakan ini aktif di Malaysia atas nama keamanan dan keharmonian, tapi berorientasi ajaran menyimpang mereka,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Mohd. Asri berkata, satu taklimat tentang gerakan kultus berkenaan telah disampaikan pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dua hari lalu.
Kata beliau, perkara yang turut menimbulkan persoalan ramai Ahli Parlimen muslim dan individu penting Parlimen kelihatan aktif menyertai dan membantu gerakan kultus tersebut.
Menurut beliau, gambar-gambar mereka juga banyak tersiar bersama dengan gerakan kultus berkenaan sejak bertahun lalu di pelbagai tempat dan negara.
“Mungkin mereka ada jawapan yang boleh menjustifikasikan keterlibatan mereka. Apapun, ia boleh menimbulkan persoalan kepada banyak pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE














