KUALA LUMPUR – Nampak ceria dan menjalani hidup sihat bersama keluarga, siapa sangka penyanyi Nourul Depp sebenarnya pernah diuji dengan masalah kesihatan yang ditakuti golongan wanita apabila disahkan menghidap kanser saluran faraj tahap pertama sekitar 2018.
Menurut Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 48, kesan daripada kanser tersebut, dia terpaksa membuang uterusnya pada September 2020 dan ovari pada tahun lalu.
“Doktor sarankan ambil suntikan vaksin papilomavirus manusia (HPV) selama enam bulan yang selalunya untuk wanita berdepan masalah uterus.
“Namun, kanser itu tetap datang lagi dan berkembang daripada pra kanser kepada tahap satu. Proses itu berlaku sehingga saya anak keempat. Kalau makin teruk, saya takkan mengandung.
“Selepas doktor sahkan memang kanser, saya ambil keputusan buang uterus dan ovari. Alhamdulillah, sekarang sudah okey,” katanya selepas sidang media Konsert For You: Nourul, di sini, semalam.
Dalam masa sama, dia tidak menolak bahawa penyakit tersebut disebabkan stres melampau dialaminya selepas kerugian RM80,000 kerana ditipu pihak yang menjanjikan mahu menerbitkan album bahasa Perancis untuknya pada 2018.
“Sebuah syarikat tempatan janji nak taja dan semua perjanjian pun ada untuk memberi dana RM80,000. Saya dan suami pun tandatangan perjanjian sebelum laburkan duit dulu.
“Realitinya, kami ditipu sehingga kes masuk mahkamah tetapi sehingga hari ini mereka lesap dan RM80,000 tak dapat semula. Itu memang antara dugaan hidup paling besar buat saya.
“Memang kalau stres melampau disebabkan hormon kortisol tinggi. Kebanyakan yang dapat masalah kanser sekarang semua sebab stres,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nourul bakal muncul dengan konsert solo pertamanya selepas 30 tahun bergelar penyanyi.
Nourul kini menetap di Bali, Indonesia dalam rangka promosi Konsert For You: Nourul anjuran Rong Geng Entertainment akan berlangsung pada 17 April tahun depan di Zepp Kuala Lumpur. Tiket sudah mula dijual semalam menerusi laman web ticket2u. – KOSMO! ONLINE














