PETALING JAYA – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan beliau akan terus komited menjalankan tanggungjawabnya sebagai Menteri Dalam Negeri.
Menurutnya, tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau itu akan diteruskan dengan komitmen yang sama.
“Berkhidmat untuk terus meningkatkan kesejahteraan, ketenteraman dan keselamatan rakyat dan negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan tiga menteri dilantik semula sebagai Senator bagi penggal kedua selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi menyambung perkhidmatan mereka dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Mereka ialah Saifuddin Nasution, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – KOSMO! ONLINE














