PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan kepada Hakim Besar Malaya dan Hakim Mahkamah Persekutuan hari ini.
Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Hakim Besar Malaya dan Hakim Mahkamah Persekutuan berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara.
“Istiadat dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah. Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali; Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali; Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azimah Omar,” kata laman Facebook tersebut hari ini.
Menurut laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, turut hadiri ialah Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Kata laman Facebook berkenaan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi serta Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar turut hadir. – KOSMO! ONLINE














