fbpx
Gambar hiasan.

874 lokasi di Johor berisiko banjir antara November – Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Sebanyak 874 lokasi berisiko banjir di seluruh negeri ini sudah dikenal pasti berkemungkinan berlaku bencana ekoran fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku antara November hingga Januari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, sehubungan dengan itu, seramai 1,280 pegawai dan anggota kini berada dalam keadaan siap siaga dan lebih 900 pelbagai aset berkaitan boleh digerakkan pada bila-bila masa sekiranya bencana berlaku.

Katanya, pihaknya telah memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan seluruh jabatan dan kontinjen sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan banjir terutama di kawasan ‘hotspot’.

“Sekiranya keadaan banjir semakin kritikal, kekuatan anggota akan ditambah berdasarkan jumlah keseluruhan lebih 9,000 pegawai dan anggota PDRM di Johor yang boleh digerakkan mengikut keperluan.

“Kita mempunyai aset yang mencukupi, namun pada masa sama akan mendapatkan bantuan daripada agensi sahabat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RELA sekiranya situasi banjir menjadi lebih kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Mengulas mengenai cuti pegawai dan anggota ketika ini, Ab Rahaman berkata, PDRM Johor belum bercadang untuk membekukan cuti pada masa ini, namun hanya 20 peratus pegawai dan anggota dibenarkan bercuti pada satu-satu masa.

“Langkah itu bergantung kepada keadaan semasa. Jika situasi banjir bertambah buruk, kita akan menilai semula kemungkinan pembekuan cuti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI