LUMUT – Seramai 13 individu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Manjung menerusi Operasi Bersepadu Cegah Khas selama dua hari bermula kelmarin di sekitar pesisiran pantai negeri ini.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan susulan maklumat risikan dan aduan awam yang diterima berkaitan aktiviti disyaki penyalahgunaan dadah.
“Seramai empat anggota Unit Risik Maritim Negeri Perak bersama lapan anggota AADK Daerah Manjung telah diaturgerakkan bagi melaksanakan pemantauan aktiviti penyalahgunaan dadah di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti.
“Sepanjang operasi tersebut, seramai 13 individu lelaki telah ditahan untuk saringan awal. Daripada jumlah itu, 12 daripadanya diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut, manakala seorang diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, individu yang terlibat berusia antara 19 hingga 61 tahun.
Mohamad Shukri berkata, kes disiasat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“APMM dan AADK akan terus komited dalam melaksanakan operasi bersama bagi mengekang penyalahgunaan dadah serta memperkukuh pemantauan di kawasan pantai dan perairan yang berisiko tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














